SESA struktur semula Skuad E-Sport Sukma

KUCHING: Skuad E-Sports Sukma akan distruktur semula ekoran ketiadaan beberapa atlet sedia ada disebabkan pertembungan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi memberitahu, pendekatan tersebut perlu dilaksanakan bagi menyediakan satu pasukan yang mantap untuk bersaing dalam kejohanan itu kelak.

“Kebanyakan pemain yang berada dalam senarai sebelum ini telah menarik diri disebabkan mempunyai komitmen masing-masing.

“Penstrukturan semula pasukan E-Sports Sukma perlu dilakukan bagi tujuan menambah baik,” ujar Afiq kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau menyatakan terdapat atlet terpaksa melanjutkan pelajaran, mempunyai kerjaya sendiri serta beberapa masalah lain.

Afiq pada masa sama menyatakan, pihaknya akan cuba mengenal pasti bakat baharu menerusi pertandingan yang akan diadakan selepas ini.

Terdahulu beliau amat berharap kepada individu yang terpilih mewakili negeri Sarawak untuk acara sukan elektronik dalam setiap pertandingan agar lebih serius dan komited.

Suara Sarawak