KUCHING: Suasana pilu menyelubungi Masjid Jamek, Petra Jaya bagi penghormatan terakhir Allahyarham mantan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Barisan pemimpin negeri, ahli keluarga, kenalan serta orang ramai yang hadir turut menunjukkan rasa hiba atas pemergian mantan Yang Dipertua Negeri itu seawal jam 10.30 pagi dengan kebanyakannya menggunakan pakaian serba hitam.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada jam 11.20 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir.

Barisan pemimpin negeri lain yang turut hadir ialah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Sen; Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang dan lain-lain turut hadir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Jamek dengan diiringi pihak polis tepat jam 11.20 pagi dan dibawa memasuki masjid dengan penuh tersusun dan teratur mengikut adat istiadat.

Keranda Allahyarham turut dilitupi bendera Sarawak sebagai tanda penghormatan terhadap khidmat dan jasa baktinya kepada negeri ini.

Cahaya matahari turut menyinari majlis penghormatan terakhir dengan alunan ayat suci Al-Quran berkumandang menyelubungi masjid tersebut.

Terdahulu, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 11.45 malam Jumaat, akibat sakit tua di Pusat Perubatan Pakar Normah.

Suara Sarawak