SUFC tak pernah hutang gaji

KUCHING: Pengerusi Sarawak United FC (SUFC), Datuk Posa Majais menegaskan pihaknya sudah melangsaikan semua gaji pemain pada musim lalu.

Lantaran itu katanya, tidak ada lagi tunggakan gaji sebagaimana yang digembur-gemburkan beberapa hari lalu.

Justeru tegas Posa, beliau terkilan dan kecewa kenapa pasukannya (SUFC) sering dikaitkan isu tunggakan gaji.

“Tiada lagi masalah tunggakan gaji membabitkan semua pemain musim lalu.

“Cuma apa yang belum dilangsaikan sehingga kini ialah bonus untuk pemain yang menyamai sebulan gaji,” tegas Posa kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, pemberian bonus berkenaan sebagai hadiah kepada pemain ekoran kejayaan SUFC layak ke Liga Super 2022.

Beliau berkata, pembayaran bonus tersebut sedikit lewat dan ia telah dimaklumkan kepada semua pemain.

“Kita telah memaklumkan kepada semua pemain bahawa pembayaran bonus akan dibuat dalam sedikit masa lagi,” tambahnya.

Sebelum ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendakwa SU FC perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan gaji pemain selewat-lewatnya 31 Januari ini.

Jika gagal, mereka akan berhadapan hukuman pemotongan mata atau tidak dibenarkan mengambil pemain import sehingga satu tarikh tertentu.

SUFC akan bersaing dalam kempen Liga Super musim ini dan telah pun membuat persiapan sejak seminggu yang lalu.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak