KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bercadang untuk mengupah sebuah syarikat perkhidmatan keselamatan bagi membantu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) di semua 12 terminal feri di negeri ini.

Timbalan Pengarahnya Richard Tajan berkata, pihaknya berharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan dalam tahun ini.

“Kita mahu semua pihak termasuk pengguna dan pengusaha feri mematuhi SOP yang ditetapkan dengan ketat demi keselamatan mereka.

“Selain memotong barisan, satu lagi kebimbangan kami adalah keengganan pengguna feri untuk menggunakan jaket keselamatan yang disediakan ketika berada di atas feri,” katanya.

Uggah bersama Majang dan Richard serta yang lain semasa mengadakan lawatan ke terminal feri Triso, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas mengadakan lawatan ke terminal feri Triso dan Saribas di sini, semalam.

“Biasanya mereka memberi alasan tidak suka atau tidak mahu jaket yang dikongsi dengan orang lain dan kotor. Tetapi hakikatnya jaket tersebut sentiasa dibersihkan oleh pekerja kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya orang ramai juga boleh memilih untuk membawa jaket mereka sendiri atau membeli jaket berharga RM35 yang dijual di feri.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Majang Renggi.

Suara Sarawak