Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING: Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fatimah Abdullah menyambut baik cadangan Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menyenaraikan wanita di dalam proses pemilihan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Menurutnya, tindakan tersebut disokong sepenuhnya kerana ia akan memberi peluang kepada wanita, sekali gus memenuhi kesaksamaan hak dalam kalangan jantina.

“Besar harapan kita agar komponen parti lain yang ada dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat melaksanakan pendekatan itu dalam menerapkan konsep kebersamaan.

“Berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Pemangku Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum, saya yakin bilangan calon wanita akan bertambah untuk berkhidmat kepada rakyat melalui penglibatan dalam bidang politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Bengkel Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) di Hotel Merdeka Palace, hari ini.

Tambah Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti, sekiranya semua komponen parti GPS mengambil langkah yang sama, bilangan wanita sudah pasti akan meningkat lebih cepat dan berpeluang untuk berkhidmat untuk negara atau negeri.

Terdahulu, Salang mengumumkan bahawa PRS mungkin meletakkan calon wanita untuk satu daripada enam kerusi parlimennya pada Pru-15.

Suara Sarawak