KUCHING: Persaingan sengit dalam dunia perniagaan bukan menjadi bagi Safarini Sahri, 44, untuk terus menonjol dalam perusahaan tart nanas.

Aktiviti yang pada mulanya hanya suka-suka itu tidak pernah terlintas akan menjadi sumber rezekinya sekeluarga.

“Melihat pelanggan member respons yang baik, cukup membuatkan diri ini gembira dan cuba melakukan terbaik dalam perniagaan ini.

“Hasil jualan tart nanas ini sangat membantu saya menambahkan pendapatan untuk membantu suami,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Safarini, perniagaan tart nanas itu dimulakan sejak 2019 dan masih bertahan sehinggalah sekarang.

“Di awal perniagaan, saya hanya bermodalkan sebanyak RM600 dan beroperasi sepenuhnya di rumah.

“Sambutan pelanggan terhadap jualan tart nanas semakin baik dan mendapat tempat di hati orang ramai,” katanya lagi.

Sehingga kini, Safarini belum mendapat tapak niaga yang sesuai seperti yang dimiliki peniaga lain.

Jelas Safarini, tart nanas itu ditawarkan pada harga RM25 sebalang yang mengandungi 50 biji tart nanas.

“Jualan tart nanas ini bukan sahaja tertumpu kepada warga Kuching tetapi juga di kawasan lain jika ada permintaan.

“Untuk pelanggan di kawasan Kuching, saya biasanya mengenakan caj hantaran sebanyak RM2 manakala, kawasan luar Kuching bergantung kepada jarak lokasinya dari rumah,” katanya lagi.

Setakat ini, tart nanas jualan Safarini turut menarik perhatian pelanggan di kawasan Bintulu, Miri dan Brunei

“Kebanyakan pelanggan adalah rata-rata terdiri daripada mereka yang menempah secara dalam talian.

“Ini kerana saya banyak menggunakan platform media sosial untuk mempromosi tart nanas ini kepada orang ramai,” katanya lagi.

Antara platform yang sering digunakan untuk tujuan ini termasuklah aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp kerana ia mudah menjangkau pelanggan.

“Saya merancang untuk memperkembangkan perniagaan tart nanas sekiranya terus maju pada masa akan datang.

“Selain itu, saya bercadang untuk memiliki sebuah kedai sendiri agar lebih mudah menjangkaui pelanggan yang meminati tart nanas saya,” katanya lagi.

Perniagaan tart nanas itu dijalankan bermula dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang dengan mengutamakan tempahan awal daripada pelanggan.

Meskipun operasi perniagaan ada pasang surutnya, Safarini turut mendoakan rakan peniaga yang lain terus tabah dan kuat untuk menghadapi cabaran.

Pelanggan yang ingin menempah tart nanas jualannya dialu-alukan mengunjungi Facebook Nani Mega atau hubunginya di talian +60 11-3315 2342.

Suara Sarawak