FATIMAH ketika melakukan simbolik perasmian TTG Sibu.

SIBU: Sibu menjadi bahagian negeri pertama di Sarawak yang memiliki Tempat Transit Gelandangan (TTG) bertempat di Rumah Maksak Sibu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata selepas Sibu, TTG yang akan diperkenalkan juga adalah di Kuching, Bintulu dan Miri.

Beliau menyifatkan penubuhan TTG Sibu adalah satu sejarah yang sebelum ini hanya sebagai sebuah impian.

“Sejarah tercipta hari ini dengan penubuhan TTG Sibu dan impian kami telah menjadi kenyataan. Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana meluluskan projek ini,” katanya berucap ketika merasmikan TTG Sibu di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, TTG Sibu ini menggunakan Rumah Maksak yang diubahsuai melibatkan sejumlah RM515,000 manakala kerajaan negeri juga telah meluluskan geran ‘one-off’ sebanyak RM244,800 untuk operasinya.

Sementara itu katanya, TTG Sibu telah mendaftarkan 17 gelandangan dari 6 Disember 2021 hingga 26 Januari.

Bagaimanapun jelasnya, lima daripada mereka telah tinggal sebentar kerana mereka telah pulang ke pangkuan keluarga, dua lagi telah mendapat pekerjaan dimana mempunyai tempat tinggal yang disediakan oleh majikan mereka dan dua lagi meninggalkan pusat itu secara sukarela.

Adun Dalat itu memberitahu, idea penubuhan pusat itu adalah datang daripada bekas Residen Bahagian Sibu Charles Siaw.

Hadir sama, Menteri Muda Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Razi Sitam serta Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng.

Suara Sarawak