Terlibat aktiviti pelacuran, wanita Indonesia dipenjara empat bulan

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memasuki negara tanpa permit sah serta terlibat dengan aktiviti pelacuran.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap Vie Rieney, 27, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dihadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 Januari lepas.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang berasal dari Pontianak, Indonesia ditahan dalam sebuah bilik hotel bajet, di Jalan Song Thian Cheok di sini, sekitar jam 8.50 malam, 13 Januari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama, kerana di dapati memasuki Malaysia tanpa dokumen serta permit yang sah.

Pendakwaan kes terbabit dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Sementara itu, tertuduh juga dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret kerana terlibat dengan aktiviti pelacuran.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan apabila didapati terlibat dalam aktiviti pelacuran di hotel yang sama dan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan lanjut, tertuduh mengaku melakukan aktiviti pelacuran dengan membuat tawaran dengan kadar RM300 kepada anggota penyamaran.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak