Terus bekerja keras demi Satok

KUCHING: Adun Satok Datuk Ibrahim Baki menyifatkan kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak baru-baru ini merupakan kemenangan rakyat.

Menurutnya, kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk meneruskan legasi perjuangan mantan Adun Satok, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mentransformasikan kawasan tersebut selama ini.

“Oleh itu, saya akan terus bekerja keras dengan sokongan padu daripada rakyat untuk terus membangunkan serta memakmurkan kawasan Satok.

“Ia termasuk usaha padu daripada ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini,” katanya pada Majlis Kesyukuran Kemenangan PRN12 Sarawak DUN Satok di sini. Ibrahim yang berkecimpung dalam politik lebih 36 tahun itu menambah, selepas memenangi pilihan raya yang lalu, kehidupannya mula berubah.

“Saya memberitahu keluarga kehidupan saya selepas ini akan berubah kerana saya juga kepunyaan rakyat.

“Saya bersikap terbuka dan pendengar yang baik. Jika ada teguran dan kritikan, datanglah berjumpa dengan saya.

“Kita bersama-sama membantu memaju dan memakmurkan Satok,” ujarnya.

Ibrahim dalam pada itu berterima kasih dengan jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di pelbagai peringkat di Satok kerana bekerja keras tanpa mengira masa untuk menghadirkan kemenangan besar di Satok.

Ujarnya, kemenangan lebih dua pertiga GPS merupakan isyarat rakyat yang mengiktiraf parti tempatan kerana terbukti mempunyai rekod cemerlang mentadbir Sarawak.

Pada PRN-12, Ibrahim berjaya memenangi kerusi Satok dengan majoriti undi 6,033 mengalahkan pencabarnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK). Terdahulu, majlis yang dianjurkan oleh ranting Kampung No. 6 itu bermula pada jam 7.30.malam bertempat di Hotel Samudra.

Suara Sarawak