KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga semasa musim perayaan.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, KPDNHEP akan menyerahkan notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 terhadap perniaga bagi mendapatkan maklumat dan justifikasi kenaikan harga.

Jelasnya, peniaga harus mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang menyebabkan kenaikan harga.

“Kegagalan dalam mengemukakan maklumat dalam tempoh yang diberikan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5) iaitu gagal memberikan apa-apa maklumat yang diminta oleh penolong pegawai dalam tempoh yang ditetapkan dan peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 sekiranya suatu perbadanan atau syarikat.

“Bagi bukan perbadanan /individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemantauan serta pemeriksaan di lapangan akan sentiasa dilakukan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga jualan dan mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

Justeru katanya, KPDNHEP memohon kerjasama pengguna untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga pada musim perayaan.

Stanley berkata, pengguna boleh membuat aduan melalui saluran Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; Call Centre 1800 886 800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; Aplikasi telefon pintar Ez Adu; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088; Talian 03-8000 8000 (MYGCC); Whatsapp ke 019-279 4317 atau Lapor/hadir ke mana-mana Pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Suara Sarawak