KUCHING: Seorang kontraktor warga asing dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menipu dalam satu kerja ubah suai rumah seorang wanita tempatan hingga menyebabkan kerugian RM25,000, dua tahun lalu.

Tertuduh Junaidi, 39, yang merupakan warganegara Indonesia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana menipu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun dalam kontrak kerja ubah suai rumah hingga menyebabkan kerugian RM25,000.

Tertuduh didakwa menipu wanita berkenaan sekitar 11 September 2020 hingga 8 Oktober 2021, di Matang Malihah II, di sini.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, pada 11 September 2020, pengadu telah membuat pembayaran deposit kepada kontraktor warga Indonesia bernama Junaidi yang diperkenalkan sendiri kakak pengadu untuk membuat kerja ubah suai rumahnya.

Sebelum itu, kakak pengadu telah membuat perbincangan bersama tertuduh mengenai kos ubah suai termasuk kos upah dengan jumlah keseluruhan RM22,000 ditanggung sepenuhnya oleh pengadu.

Pada awalnya, tertuduh bersama tiga pekerja yang lain ada membuat kerja ubah suai rumah. Namun, pengadu telah dikuarantin dan segala urusan pembayaran telah diuruskan oleh kakak pengadu.

Jumlah yang telah dibayar oleh kakak pengadu termasuk kos bahan binaan dan upah adalah sebanyak RM25,000 kerana tertuduh menyatakan jumlah yang awal dipersetujui adalah tidak mencukupi.

Selepas pembayaran dibuat, keadaan rumah terbabit tidak disiapkan dan ditinggalkan dalam kualiti yang kurang memuaskan. Usaha menghubungi tertuduh juga gagal.

Pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa penangkapan tertuduh pada 24 Januari lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak