Fatimah menerima laporan bengkel daripada wakil peserta Bengkel Hala Tuju OKU. Turut kelihatan Razi Sitam (dua kanan) dan Noriah Ahmad (dua kiri).

DAMAI: Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) dijenamakan semula kepada Pusat Kecemerlangan Orang Kelainan Upaya (OKU) sejajar dengan perubahan zaman yang berteraskan teknologi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia selaras dengan semangat baharu untuk mentransformasikan pusat pemulihan berkenaan.

“Kita mahu menerapkan kecemerlangan yang bukan sahaja dari segi latihan vokasional untuk menjana pendapatan dan meningkatkan kebolehpasaran golongan ini.

“Tetapi juga untuk meningkatkan potensi diri mereka serta memfokuskan kepada minat serta bakat yang ada termasuk bidang sukan seperti kejayaan atlet para Sukma Sarawak yang telah berjaya merangkul gelaran juara sebanyak 13 kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Hala Tuju OKU PPS di Damai Beach Resort, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, dengan perubahan yang dilakukan, pusat tersebut hendaklah bersikap inklusif dan tanpa diskriminasi dalam menerima kemasukan pelajar mengikut kesesuaian situasi.

Beliau turut menyarankan pusat tersebut menawarkan pelbagai kursus baharu supaya lebih ramai pelatih menyertainya termasuk latihan jahitan seni reka pakaian, elektronik, pendawaian elektrik, teknologi maklumat (ICT), pemasaran, dandanan rambut, solekan, seni grafik, pertanian moden, urutan spa, bakeri dan sebagainya.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohamad Razi Sitam dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad.

Suara Sarawak