TAHNIAH… Abang Johari bersama-sama Awang Tengah, Abang Abdul Karim dan penerima Anugerah Usahawan
Sarawak 2021, Hii Sing Lung serta di Kuching semalam. | RAMIDI SUBARI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan satu entiti berasingan iaitu “Invest Sarawak” bagi menarik ramai pelabur ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, badan itu akan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Kami mahu orang ramai melabur di Sarawak dengan mudah serta mendapat akses mudah.

Oleh itu, kami akan menubuhkan entiti berasingan iaitu sebuah badan yang dipanggil “Invest Sarawak” di bawah Datuk Amar Awang Tengah.

“Ia adalah pusat sehenti, iaitu semua keperluan prasyarat akan diselaras oleh entiti tertentu ini,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Sarawak 2021, di sini, semalam.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, badan itu akan memudahkan orang ramai untuk datang ke negeri ini.

“Dengan peruntukan tanah, kuasa, bekalan air semua ini dikodkan di bawah satu badan yang dipanggil pelaburan Sarawak.

“Ia untuk rakyat bukan untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi untuk rakyat. Justeru, rakyat boleh berniaga dan buat duit,” jelasnya.

Abang Johari turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri ingin perniagaan di negeri ini berorientasikan eksport kerana Sarawak memiliki 2.8 juta penduduk dan mempunyai pasaran yang sangat kecil.

Namun katanya, orang ramai mesti mengambil kedudukan mereka setidak-tidaknya dalam pasaran serantau jika bukan pasaran global antarabangsa.

“Sudah tentu jika mereka berjaya, kerajaan negeri akan mengambil sedikit sahaja cukai jualan untuk menjana hasil untuk Sarawak,” jelasnya lagi.

Ujarnya, usaha ini adalah untuk komuniti perniagaan kerana kerajaan negeri komited untuk mewujudkan iklim yang ideal untuk pelaburan melalui dasar dan inisiatif mesra perniagaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.

Sementara itu, Abang Johari yang juga juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar menegaskan, Sarawak kini juga memberi penekanan kepada ekonomi hidrogen.

Katanya, ekonomi di Sarawak haruslah mesra alam, justeru, Sarawak mempunyai satu portfolio yang dipanggil Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.

“Kita perlu mengimbangi permintaan alam sekitar dan permintaan untuk ekonomi kita bergerak ke hadapan.

“Jadi dasar guna tanah, perhutanan semula dan idea perdagangan karbon akan dimasukkan dalam strategi ekonomi masa depan Sarawak.

“Dengan itu, terdapat banyak peluang untuk sektor perniagaan.

Namun, sektor perniagaan mesti proaktif dan kemudian mesti konsisten dengan teknologi semasa di seluruh dunia,” katanya.

Suara Sarawak