Tukang kayu dipenjara 14 tahun, enam sebatan akibat merogol

KUCHING: Seorang tukang kayu dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anak buahnya berusia 12 tahun, empat tahun lalu.

Hakim Jason Juga menetapkan hukuman penjara untuk tertuduh berusia 48 tahun berkuat kuasa hari ini.

Namun demikian, peguam Wit Malang yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah menangguhkan hukuman penjara ke atas anak guamnya kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan tibi.

Selain itu, tertuduh yang merupakan pencari nafkah tunggal memerlukan rawatan susulan dan mempunyai isteri dan ahli keluarga lain yang perlu ditanggung.

Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan terbabit dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan beralamat dan mempunyai pekerjaan tetap, sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang merupakan anak buahnya di sebuah rumah di sebuah kampung yang beralamat di Daerah Bau, pada Febuari 2018.

Berdasarkan laporan terdahulu, ibu mangsa membuat laporan polis selepas terdengar perbualan anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan mangsa tentang perbuatan terkutuk bapa saudaranya (tertuduh).

Difahamkan, tertuduh melakukan perbuatan terkutuk terbabit berulang kali namun mangsa enggan memberitahu ibunya kerana telah diugut.

Susulan laporan polis yang dibuat, tertuduh berjaya ditangkap di kediamannya sekitar jam 12.45 petang, 5 November 2018.

Pada 21 Julai lepas, tertuduh juga didapati bersalah oleh mahkamah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan selepas perbicaraan penuh, selepas pihak pendakwaan berjaya menbuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Di bawah Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana mengambil kira faktor tertuduh didapati bersalah selepas perbicaraan penuh.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak