KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menumbuk muka dan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu saudaranya.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Haniffah, 26, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan, manakala pertuduhan kedua penjara lima bulan.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Disember 2021.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, apabila sengaja mencederakan ibu saudaranya berusia 65 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugut jenayah hendak mencederakan mangsa.

Menurut fakta kes, pengadu telah ditumbuk oleh tertuduh di bahagian muka sebelah kiri serta melakukan ugutan jenayah hendak mencederakan bahagian badan mangsa yang lain kerana ditegur menutup pintu dapur.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak