KUCHING: Allahyarham Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng merupakan pemimpin yang menyatukan rakyat berbilang kaum dan bangsa di Sarawak.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kemakmuran dan perpaduan yang dikecapi Sarawak ketika ini merupakan hasil daripada pimpinan Allahyarham.

“Tun telah dilantik menjadi TYT sebanyak dua kali, ini melambangkan ketokohan Tun sebagai seorang pemimpin yang telah menyatukan rakyat berbilang kaum dan bangsa di negeri ini.

“Malah atas nasihat dan pimpinan beliau, kita berjaya menikmati apa yang kita lihat hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir di Masjid Jamek, Petra Jaya, hari ini.

Tambah Abang Johari, beliau turut berkesempatan berkhidmat sebagai menteri di bawah pimpinan Allahyarham dahulu.

“Sudah tentu banyak nasihat telah Tun berikan kepada kita. Bagaimana untuk terus mempertahankan negeri ini supaya kita aman dan makmur.

“Pemergian Tun ini adalah satu kehilangan besar kepada kita di Sarawak,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek Petra Jaya untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir pada pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang sejurus selepas solat Zohor.

Suara Sarawak