KAMI DILIHAT DUNIA….Penduduk Uma Akeh gembira dengan pencapaian Internet di kampung berkenaan

LONG LAMA: Umpama mengantuk disorongkan bantal, projek perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Uma Akeh beri seribu makna buat penduduk di pedalaman Miri itu.

Sekitar 800 penduduk daripada lebih kurang 41 pintu di perkampungan kaum Kenyah itu akhirnya boleh secara perlahan-lahan menggunakan sistem atas talian untuk melaksanakan aktiviti perniagaan mereka.

Pengerusi Kelab Belia Uma Akeh (Kebuma), Spanski Steven berkata, majoriti penduduk di sana melaksanakan ekonomi berasaskan pertanian dan boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk menarik lebih ramai pelanggan daripada luar.

“Kemudahan wifi ini bermakna kepada penduduk kerana dengan adanya bekalan internet 24 jam, penduduk akan lebih aktif untuk mengangkat dan mempromosikan Uma Akeh kepada orang luar.

“Uma Akeh juga dunia kepada peminat durian antara yang tersedap di Baram makan setiap kali musimnya. Apabila Internet ini dipasang pengusaha durian ini boleh mempromosi hasilnya dalam talian sekali gus menjana hasil pendapatan dengan lebih cepat,” katanya.

SUDAH boleh buat panggilan video, lebih 800 penduduk Uma Akeh terima khidmat jalur lebar percuma.

Tambah Spanski, impak lain turut dirasai penduduk terutama dari segi perhubungan dan kaedah pembelajaran anak pelajar yang terganggu ekoran tiada atau liputan Internet lemah.

“Sebelum ini agak mencabar terutama dalam perhubungan harian bila kita hendak berhubung dengan sanak-saudara yang berada di Miri yang berada di kawasan luar atau di bandaraya Kuching agak sukar.

“Oleh kerana apabila kita mahu mendapatkan Internet atau membuat panggilan biasa kita terpaksa
pergi ke hadapan rumah terutama di jeti dan pondok menunggu di hadapan rumah kampung untuk mendapatkan Internet.

Itupun kalau bernasib baik akan ada talian,” ujarnya.

Bagimanapun, penduduk di Uma Akeh masih berharap ada satu kemudahan telekomunikasi kekal dibina di kawasan tersebut kerana mereka difahamkan perkhidmatan Internet yang dipasang itu hanya beroperasi secara percuma sehingga 2024.

“Dunia moden sekarang ini selain infrastruktur yang asas, Internet juga kepentingan yang asas yang perlu diberikan kepada penduduk kita dan harapan kita berkehendakkan satu kemudahan telekomunikasi yang kekal dibina di kawasan di Uma Akeh.

“Uma Akeh ini terletak ditengah-tengah dan dikelilingi beberapa kampung yang lain, wajar untuk kemudahan berkenaan dibina di sini atau setidak-tidaknya selepas 2024 kelak, kerajaan boleh bantu beri subsidi kepada penduduk agar penggunaan lebih mesra dan tidak membebankan mereka yang kurang mampu,” katanya.

Projek di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) itu mula dipasang di Uma Akeh awal Januari lalu dan boleh beroperasi seperti biasa menggunakan akses jalur lebar tanpa wayar (wifi).

Perjalanan ke Uma Akeh boleh mengambil masa sehingga dua jam 30 minit daripada bandar Miri atau 15 minit dari Long Lama melalui jalan darat dan boleh menggunakan pelbagai jenis kenderaan.

Suara Sarawak