KUCHING: Wanita tempatan berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.03 gram, Oktober tahun lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Nisha Lo Abdullah, 32, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh 20 Oktober 2021.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.03 gram di tingkat 1 sebuah rumah di Jalan Hajibah Abol di sini, sekitar jam 4.45 petang, 22 Oktober lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Hajibah Abol, sekitar jam 4.45 petang, Oktober lalu, dan menahan seorang wanita tempatan.

Hasil pemeriksaan, berjaya menjumpai tiub straw berisi tepung yang dipercayai dadah jenis Metamphetamine seberat 0.07 gram dalam poket sebelah kanan seluar suspek.

Hasil siasatan lanjut dan laporan kimia dari Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan terbabit ialah dadah jenis Methamphetamine seberat 0.03 gram.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak