Wanita ditahan buat laporan palsu, elak bayar denda MyKad

KUCHING: Seorang wanita ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya disamun bagi mengelak dikenakan bayaran denda membuat kad pengenalan baharu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supritenden Merbin Lisa berkata, wanita berumur 30-an itu mendakwa menjadi mangsa samun dalam satu kejadian yang berlaku di tepi Jalan Wan Alwi kira-kira jam 9.10 malam, semalam.

Katanya, semasa sedang berjalan kaki, suspek disamun oleh dua orang lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam yang datang dari arah belakang serta mengacukan sebilah pisau.

Beliau berkata, dua lelaki berkenaan telah mengarah suspek untuk menyerahkan beg silang miliknya.

“Hasil soal siasat lanjut oleh pegawai penyiasat terhadap suspek terbabit dan saksi mendapati laporan yang dibuat adalah palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kertas dakwaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada esok bagi mendapatkan arahan pendakwaan di Mahkamah.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kerana tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang berbuat sedemikian.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab tersebut akan membazir masa polis menyiasat kes yang tidak wujud ataupun tidak berlaku.

Jelasnya, tindakan individu tersebut boleh mendatangkan kegusaran masyarakat berkaitan kejadian yang dilaporkan.

Mengulas lanjut, Merbin berkata, sepanjang tahun 2021, sebanyak 10 kes telah dikesan dan disiasat atas kesalahan membuat laporan palsu yang membabitkan tujuh laporan palsu kes samun dan kesemua kes telah dituduh di Mahkamah.

Katanya, individu yang didapati melakukan kesalahan membuat laporan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak