Mayat mangsa di tempat kejadian dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Sungai Buloh Off, Km 37 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, malam tadi.

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Sungai Buloh Off, Km 37 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 64 tahun dari Kampung Iboi,Sadong Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sadong Jaya menuju ke arah Simunjan.

“Apabila tiba di Jalan Sungai Buloh Off, Km 37 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, mangsa yang bergerak lurus di laluan yang betul tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal.

“Mangsa yang tercampak di tepi jalan mengalami kecederaan di kepala kerana dipercayai tidak menggunakan topi keledar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, Alexson berkata penunggang motosikal yang melanggar mangsa hanya mengalami luka di kaki, tangan dan pinggang.

Katanya lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Sinai Rumbau, Simunjan itu telah dihantar ke Klinik Sadong Jaya untuk rawatan.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak