KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia akan menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi mengkaji sistem keadilan jenayah yang dipraktikkan di Penjara Sarawak, apabila telah dapat mengekalkan kawalan ke atas kesesakan penghuni dalam sepanjang tempoh tahun lepas.

Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad berkata daripada enam buah institusi penjara di Sarawak (Penjara Puncak Borneo, Penjara Sri Aman, Penjara Sibu, Penjara Miri, Penjara Limbang dan Penjara Bintulu), hanya Penjara Puncak Borneo dan Penjara Miri yang mengalami kesesakan.

Manakala, katanya empat lagi penjara jumlah banduannya berada di bawah kapasiti, sekaligus menjadikan Penjara Sarawak secara keseluruhannya telah mencapai pengurangan banduan sebanyak 9 peratus orang daripada kapasiti yang disediakan untuk menempatkan banduan.

“Ini merupakan sesuatu yang sangat penting dalam soal kita pada hari ini untuk meningkatkan hak asasi manusia, dengan penahanan penjara atau hukuman penjara merupakan hukuman yang adil.

“Jadi perkara ini boleh kita contohi, yang telah diamalkan dan dilaksanakan oleh negara-negara maju yang jumlah pesalahnya hanya 1/3 berada di penjara.

“Manakala 2/3 lagi daripada jumlah pesalah akan berada dalam komuniti, kekal bersama keluarga dan berupaya menjadi tulang belakang keluarga mereka dan masalah sampingan yang timbul daripada pemenjaraan tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Penjara Puncak Borneo, di sini hari ini.

Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad menyampaikan pingat kepada salah seorang penerima sempena Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Penjara Puncak Borneo, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr. Sabariah Putit, Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Supri Hashim, Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Ajidin Salleh, Pengarah Bahagian Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi Zaidi Hamid dan Pengarah Penjara Sarawak Mohamad Rosidek Musa.

Selain itu, Nordin berkata Penjara Sarawak juga berjaya merekodkan pencapaian yang baik dari segi kadar residivisme (jenayah berulang dilakukan bekas banduan) iaitu di bawah 0.3 peratus berbanding purata kadar residivisme di Jabatan Penjara pada hari ini iaitu 13.86 peratus.

“Tidak sampai setengah peratus kadar residivisme dilaporkan di Penjara Sarawak.

“Jadi perkara ini juga memerlukan kajian yang terperinci, adakah disebabkan oleh sistem, proses, keutamaan yang berbeza telah dipraktikkan di sini atau kebudayaan, cara hidup, peradaban dalam masyarakat Sarawak yang boleh kita contohi.

“Ini kerana kita melihat kadar residivisme di sini di bawah 0.3 peratus, seolah-olah daripada 300 banduan yang dibebaskan, hanya seorang sahaja yang masuk semula ke penjara,” katanya.

Dalam pada itu, Nordin berkata Penjara Sarawak juga telah berjaya melaksanakan Corporate Smart Internship (CSI) apabila seramai 152 Orang Di Parol (ODP) telah mengikuti program di lokasi terpilih bersama dengan Syarikat Berkat Channel di Bintulu, Restoran 3 Beradik Gemuk di Miri, Syarikat Smile Earth Sdn Bhd, Syarikat Right Round Sdn Bhd di Bintulu dan Felcra Berhad Wilayah Sarawak.

Katanya langkah yang diambil itu untuk membantu Orang Di Selia (ODS) dan ODP yang sebelum ini hanyut dalam kealpaan untuk kembali ke pangkal jalan.

Pada masa sama, beliau amat menghargai usaha kolaborasi antara Penjara Puncak Borneo bersama Kerajaan Sarawak yang terdiri daripada Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) bagi mewujudkan Bengkel Songket di Penjara Puncak Borneo.

Katanya usaha sama itu akan dapat meneruskan kelestarian warisan songket Melayu Sarawak agar tidak hilang ditelan zaman.

Suara Sarawak