Antara senjata yang digunakan dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Sibu.

SIBU: Sembilan lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan bersenjata membabitkan dua kumpulan pada Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 31 tahun itu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam.

“Kesemua suspek telah direman selama lima hari bermula 5 hingga 10 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau menambah turut dirampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu.

Bagaimanapun, Collin berkata pihaknya percaya ada saki baki mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu masih bebas.

“Pihak polis masih giat mengesan mereka,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara, Collin berkata pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara salah seorang ahli kumpulan terbabit di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Tong Sang pada jam 11.30 malam Selasa lalu.

Susulan itu, katanya satu lagi pergaduhan tercetus di sebuah kedai kopi di Jalan Ramin kira-kira jam 2.30 pagi pada Rabu disebabkan rasa tidak puas hati daripada pergaduhan terdahulu yang menjurus memanggil anggota kumpulan masing-masing.

“Pergaduhan itu kemudian bersambung lagi sehingga mencetuskan rusuhan di rumah salah seorang ahli kumpulan berkenaan di Sibu Jaya,” katanya.

Collin berkata selepas pergaduhan itu, ahli kedua-dua kumpulan terbabit kemudian tampil membuat laporan polis.

Suara Sarawak