MUKAH: Sekitar 1950-an, dia melihat ibunya menghasilkan pipus, makanan tradisional Melanau – terhasil daripada kulit ikan yang dihancurkan, seterusnya dimakan seisi keluarga.

Masih segar dalam ingatan kenangan itu dalam benak suri rumah Kampung Tellian Tengah, Jainah Jana, 70.

Dia tidak menyangka, dahulu ibunya dapat menghasilkan makanan tradisional Melanau, pipus dengan hanya menggunakan kulit ikan dan rasanya sungguh sedap.

Jaina sendiri kini menghasilkan pipus ikan dari rumahnya sejak memulakan perniagaan berkenaan pada 2016 hasil belajar dengan arwah ibu saudaranya, Monica Lik.

Bagi masyarakat Melanau di Mukah, pembuatan pipus ikan menggunakan isi ikan parang yang disalai dan dibakar untuk tempoh lama berbanding pipus Matu Daro menggunakan kaedah seperti membuat otak-otak dengan isi ikan dikisar menggunakan bahan tertentu, dibakar di dalam daun.

Ditemui Suara Sarawak di rumahnya di Kampung Tellian Tengah baru-baru ini, Jainah mengakui masyarakat Mukah mengenali pipus dihasilnya – Pipus Tellian.

Bahkan di kampung berkenaan, dianggarkan sekitar lima pengusaha mampu menghasilkan makanan tradisional ini dan menjualnya di pasaran Mukah.

Ibu kepada 11 anak ini mengaku dia mengusahakan pembuatan pipus tiga kali seminggu, berjumlah 100 hingga 130 biji pipus.

“Orang luar Mukah selalu beli pipus saya di pasar tamu. Kadang-kadang mereka tempah pipus tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak.

IKAN SEGAR SAHAJA

Ujar Jainah lagi dia hanya menggunakan ikan segar yang ditangkap di laut oleh nelayan dan ia bergantung dengan musim ikan.

“Saya biasanya menggunakan ikan parang membuat Pipus,” ujarnya.

Pembuatan makanan tradisional ini memerlukan ketelitian serta ketekunan menggunakan ikan segar yang terbaik sahaja.

Setelah ikan parang segar dibersihkan, kepalanya dipotong dan dibakar hingga masak menggunakan kayu api.

Kemudian semua tulang ikan perlu dibuang dan isinya diasing menggunakan penapis.

Isi ikan tersebut mula diletakkan di dalam daun khas – Daun Isiengn yang biasanya didapati di hutan atau dibeli di pasar dengan harga RM20 dapat digunakan untuk dua hingga tiga kali pembuatan.

“Setelah diletakkan di dalam Daun Isieng, ia diikat menggunakan tali dari kulit pokok digelar Kayu Suak.

“Setelah diikat dengan rapi, pipus yang sudah dibungkus diletakkan di atas bara kayu api dan proses ini memakan masa hampir dua hari sehingga pipus betul-betul kering dan boleh dimakan,” ujarnya.

Menurut Jainah, untuk sebulan dia mampu memperoleh pendapatan RM700 hingga RM1,000 dari jualan pipus.

LEBIH RAMAI ANAK MUDA TURUT SERTA

Sebagai pengusaha gigih mengusahakan makanan tradisional, Jainah berharap lebih ramai masyarakat Melanau dari Mukah dapat memajukan perusahaan pembuatan pipus tersebut.

“Kepada anak muda, saya harap mereka tergerak memajukan perusahaan makanan tradisional masyarakat Melanau ini, sebab tanpa barisan pelapis, pembuatan pipus akan pupus.

Jainah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan yang selama ini terus menyokong usahanya membuat pipus.

Bagi yang berminat membeli Pipus Tellian, sila hubungi Jainah di talian 011-1857 2036 .

Suara Sarawak