Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyuntik vaksin kepada salah seorang penerima pada lawatan kerja PICKids di Klinik Kesihatan Batu Kawah, Kuching, hari ini. FOTO : Alif Noni

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di semua sekolah seluruh negara selewat-lewatnya pada 14 Februari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia bagi memudahkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) berusia lima hingga 11 tahun.

“KKM menyasarkan sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan populasi kanak-kanak di negara ini menerima vaksinasi kerana jumlah tersebut berada di sekolah masing-masing.

“Bermakna apabila semua sekolah selesai melaksanakan pemberian vaksin, dua juta kanak-kanak Malaysia sudah menerima dos pertama vaksin mereka dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pelaksanaan PICKids di Klinik Kesihatan Batu Kawa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya KKM akan mengeluarkan satu kenyataan media hari ini selepas mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) tentang pelaksanaan program tersebut.

“Pendaftaran juga akan dibuat oleh sekolah masing-masing. Manakala bagi yang terlepas temu janji, boleh dapatkan vaksin di PPV atau hospital swasta yang dilantik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa segera mendaftar vaksinasi anak-anak mereka kerana usaha itu penting untuk negara dapat beralih ke fasa endemik.

Untuk rekod, PICKids dilancarkan pada 3 Februari lalu, kanak-kanak akan menerima dua suntikan dos vaksin Cominarty oleh Pfizer-BioNTech dengan selang masa lapan minggu selepas dos pertama.

Suara Sarawak