Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan dokumen Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 yang dibentangkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Foto : Alif Noni

KUCHING: Cadangan pindaan untuk menukar gelaran ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ adalah bagi menggambarkan dengan betul status Sarawak berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata status istimewa Sarawak perlu dicerminkan dengan cara yang berbeza daripada negeri lain di Persekutuan.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan semangat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu apabila Sarawak bersetuju menjadi parti dalam pembentukan Malaysia, adalah bertujuan agar Sarawak mengekalkan statusnya sebagai satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia yang baru.

“Ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak sama statusnya dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain dengan mengandaikan penubuhan serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, Ketua Persekutuan dinamakan sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah yang membentuk Persekutuan dinamakan sebagai ‘Premier’ manakala sub-wilayah atau negeri lain diketuai oleh Menteri Besar.

Manakala mengenai penukaran gelaran Menteri Muda kepada Timbalan Menteri, Karim yang juga Adun Asajaya berkata ia bagi mencerminkan tanggungjawab yang mereka pegang dan laksanakan.

Beliau berkata Perkara 7A Perlembagaan Negeri Sarawak pada masa ini memperuntukkan pelantikan ‘Menteri Muda’ untuk membantu Ketua Menteri dan Menteri menjalankan tugas dan fungsi mereka.

“Memandangkan tanggungjawab yang mereka pegang dan laksanakan, maka adalah perlu untuk mencerminkan jawatan dan gelaran yang betul daripada ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’.

“Justeru, adalah dicadangkan pelantikan ‘Menteri Muda’ dinamakan semula sebagai ‘Timbalan Menteri’ bagi lebih mencerminkan fungsi dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Suara Sarawak