KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak akan menyediakan sejumlah 11,500 kotak kuih kepada 10 agensi di negeri ini sempena Program Sumbangsih Raya 2022.

Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus berkata, jumlah kotak bagi Produk sumbangsih Raya berkenaan meningkat sebanyak 1,450 kotak berbanding tahun lepas yang hanya 10,050 kotak.

“Pemberian ini adalah untuk menghargai pengorbanan anggota-anggota keselamatan, badan-badan beruniform yang bertugas semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Program Sumbangsih Raya 2022 (SR22), bertempat di Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, hari ini.

Kapsyen: Menteri Muda Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus (duduk tengah) mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Program Sumbangsih Raya 2022 (SR22).

Jelas Rosey, Majlis Sumbangsih Raya 2022 adalah sebuah program pemberian kuih kepada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan pada setiap tahun.

Katanya, program yang dimulakan sejak tahun 1990 itu adalah bagi menghargai pengorbanan anggota pasukan ini dalam menjaga keamanan negeri semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Senarai agensi penerima Sumbangsih Raya pada tahun ini adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak.

Antara produk yang akan disumbangkan nanti adalah 150 gram kek buah, 50 gram serunding daging, satu paket nasi impit, 80 gram kacang botak dan 80 gram muruku.

 

Suara Sarawak