KUCHING: Terletak berhampiran pusat bandar dan Sungai Sarawak di bahagian Kuching Selatan, Jalan Padungan yang terkenal dalam kalangan penduduk Kuching, masih lagi mendapat tempat di hati orang ramai.

Di sini, terdapat sebuah China Town yang menempatkan barisan rumah kedai yang menjalankan pelbagai aktiviti peruncitan dan perniagaan yang dieksploitasi oleh golongan Cina.

Oleh sebab sebahagian besar kawasan Padungan terletak dalam atau berhampiran pusat bandar, kegiatan ekonomi di sini lebih kepada kegiatan perniagaan termasuk perusahaan kedai kopi, restoran dan peruncit yang sudah lama beroperasi.

Seperti kedai-kedai kopi lama di kawasan lain, begitulah juga kedai kopi Huan Loke Cafe.

Walaupun sudah mencecah 62 tahun beroperasi, namun ia masih lagi menerima kunjungan daripada pelanggan yang menggemari kenikmatan rasa lama dengan pemandangan suasana satu masa dahulu.

 

Jadi, mereka tetap datang ke sini sebagai pelanggan setia,” begitulah respons pemilik kedai Huan Loke Cafe, Ho Hee Chuk ketika ditemui Suara Sarawak.

Hee Chuk yang berkongsi ceritanya berkata, ayahnya yang berhijrah dari Lingga, melihat prospek bagi kedai kopi di sini kerana penduduk yang lebih ramai di Kuching dan pada masa itu, terdapat dua pawagam di sekitar kedainya ketika itu.

“Jadi, dia berfikir adalah lebih baik jika perniagaan dimulakan di kawasan ini, sesuai dengan makna di sebalik nama kedai iaitu membawa kebahagiaan kepada orang ramai.

“Ayah saya sudah meninggal dunia ketika berusia 86 tahun dan kini sayalah yang meneruskan warisannya,” ujarnya.

Hee Chuk menambah, sebagai generasi kedua yang mengusahakan kedai tersebut, dia tidak dapat menjangka sama ada perniagaan itu akan diteruskan oleh anaknya atau tidak.

“Perkara tentang masa depan sukar untuk dikatakan kerana ia bergantung kepada generasi muda sama ada mereka berminat untuk mengambil alih perniagaan ini atau tidak. Pada masa ini, saya tidak dapat menjangka hal itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia juga berkata, kedai lama seperti kedainya juga cenderung untuk menarik pelancong asing dan berharap pihak berkuasa tempatan dapat membantunya dalam beberapa aspek.

“Justeru, saya berharap kerajaan tempatan dapat membantu mempromosikan kedai lama misalnya kedai saya yang telah beroperasi selama 62 tahun serta membantu menaik taraf jalan dan menyediakan lebih banyak ruang letak kereta.

“Hal ini kerana, saya dapat tahu daripada pelanggan bahawa mereka ingin ke kedai saya, tetapi disebabkan kekurangan ruang letak kereta menyebabkan mereka terpaksa membatalkan niat itu,” jelasnya.

Bercerita mengenai situasi di kedainya ketika pandemik pula, dia sedih berikutan perniagaannya terjejas teruk disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan makan di premis.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana perniagaan dikendalikan oleh ahli keluarga sahaja dan tidak mengambil pekerja luar. Maka, saya dapat mengurangkan perbelanjaan dari aspek itu,” tambahnya.

Berlainan pula dengan kisah pemilik kedai Ban Hong yang membekalkan peralatan alat ganti kereta yang hanya mahu dikenali sebagai Teo, dia meneruskan perniagaan milik keluarga demi menyara hidup.

Jelasnya, perniagaan tersebut adalah milik keluarganya yang dimulakan oleh ayahnya kira-kira pada 1940-an dan kini diuruskan olehnya.

Ditanya mengenai sejarah di kawasan tersebut katanya, dia kurang mengetahuinya memandangkan belum sempat merasai zaman itu.

“Dahulu, selepas sahaja tamat sekolah, saya hanya membantu ayah berniaga di sini.

Ayah pula, kurang bercerita tentang pengalamannya dan isu yang berlaku pada zamannya.

“Namun, saya pernah terdengar bahawa ayah sempat merasai zaman penjajahan Jepun dahulu dan pada ketika itu, semua orang di kawasan ini melarikan diri.

Berkenaan cerita selanjutnya, saya juga tidak pasti,” katanya.

Ditanya mengenai kedai-kedai lama yang berada di kawasan tersebut, Teo menjelaskan, kebanyakan generasi tua yang pernah berniaga di situ sudah pun meninggal dunia.

Kini, majoriti rumah kedai di Jalan Padungan dihuni oleh peniaga-peniaga baharu dan mereka kurang mengetahui tentang sejarah lama di kawasan tersebut.

Namun katanya, struktur bangunan kedai di jalan tersebut lebih kurang sama seperti dahulu dan tiada banyak perubahan yang berlaku.

“Adapun yang berubah, mungkin mereka hanya menambah baik sedikit reka bentuk dan mengecatnya untuk mencantikkan lagi kedai itu,” katanya.

Suara Sarawak