1,070 peserta sertai Fun Run Jambatan Batang Sadong
. SEMANGAT… NANCY (Tengah) bersama-sama beberapa peserta pada larian Jambatan Batang Sadong, hari ini.

SADONG JAYA: Seramai 1,070 peserta dari seluruh Malaysia menyertai acara ‘Fun Run’ Jambatan Batang Sadong sempena sambutan kelima pembinaannya, di sini, hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, para peserta bukan hanya datang dari kawasan Batang Sadong, tetapi juga dari luar termasuk Semenanjung.

Menurut Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, program tersebut merupakan antara usaha memperkenalkan kawasan berkenaan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Malaysia.

“Kita tidak menyangka sambutan program larian ini mendapat sambutan yang amat meriah, ini merupakan salah satu pendedahan awal kepada orang ramai mengenai keindahan yang terdapat di sini.

“Malah seni dan budaya yang terdapat di Batang Sadong bakal menjadi salah satu agenda baharu dalam ekopelancongan penting Malaysia nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut, di Jambatan Batang Sadong, hari ini.

Jelas beliau, program tersebut juga sebagai permulaan menjelang penganjuran marathon yang lebih besar iaitu 10 kilometer, marathon separuh (21 km) dan marathon penuh (42 km) selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Turut hadir Adun Simunjan Awla Idris dan Pemangku Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Semawi Mohamad.

BERCAKAP…Nancy (kiri) ditemui pemberita selepas acara.

Suara Sarawak