Sekitar operasi bersepadu SOP dan Ops Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(PPKHT) 2004 di kawasan Sungai Plan di Bintulu.

BINTULU: Sebanyak 11 kompaun dengan nilai RM5,250 dikeluarkan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dalam operasi bersepadu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Ops Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, malam tadi.

Operasi yang dilaksanakan di kawasan Sungai Plan itu membabitkan pemantauan terhadap lima premis kedai makan dan sebuah farmasi.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kompaun atas kesalahan merokok di kawasan larangan dan gagal meletakkan tanda larangan merokok di premis di bawah Perkara 12(1)(a) melibatkan jumlah RM2,250.

“Dalam operasi ini juga, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu mengeluarkan kompaun ke atas tiga individu dengan nilai RM3,000 kerana gagal mengimbas Mysejahtera dan merekod kedatangan dalam buku daftar kedai di bawah Perkara 17(1) Akta Pembawaan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, operasi tersebut disertai 12 anggota membabitkan enam dari Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, empat anggota Polis DiRaja Malaysia Bintulu dan masing- masing seorang anggota daripada Sukarelawan PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam(APM).

Sekitar operasi bersepadu SOP dan Ops Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(PPKHT) 2004 di kawasan Sungai Plan di Bintulu.

Suara Sarawak