LUNDU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas di kolam renang di sebuah pusat peranginan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Damataries Lautin mengesahkan kejadian berkata mangsa mandi di kolam renang kanak-kanak bersama dua adik beradiknya sambil ditemani oleh ibu mangsa kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, kira-kira jam 9.30 pagi, ibu mangsa dimaklumkan oleh anak sulungnya bahawa mangsa telah lemas dalam kolam renang.

“Mangsa telah disedari oleh orang awam yang secara kebetulan mandi bersama ketika itu.

“Mangsa kemudianya dibawa naik ke atas dalam keadaan tidak sedarkan diri. Usaha bantuan awal CPR telah dilakukan oleh ibu mangsa untuk merawat mangsa namun tiada tindak balas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Lundu menggunakan ambulans untuk mendapat rawatan lanjut.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan punca kematian adalah disebabkan lemas.

Suara Sarawak