PERIKSA…anggota trafik memeriksa motosikal dalam Op Motosikal di Lebuh Raya Kuching-Samarahan hari ini.

KUCHING: Sebanyak 211 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas pada Op Motosikal di Lebuh Raya Kuching-Samarahan, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata operasi dijalankan sempena Op Selamat 17 perayaan Tahun Baharu Cina 2022.

Katanya, dalam operasi tersebut, sebanyak 415 buah kenderaan pelbagai jenis diperiksa.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah nombor pendaftaran (77) diikuti lesen memandu (68), ubah suai ekzos (21), Lesen Kenderaan Motor (LKM) (18), tali pinggang keledar (10), hon (enam), tiada cermin sisi (lima), ubah suai struktur (empat) dan lain-lain kesalahan (dua),” katanya pada pemberita di Lebuh Raya Kuching Samarahan, di sini hari ini.

Alexson berkata, operasi bermula jam 4 petang hingga 6 petang dijalankan oleh lima pegawai serta 15 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Daerah Kuching.

Suara Sarawak