3,000 daftar Sara-X

KUCHING: Menyedia pelbagai jenis perkhidmatan kemahiran, kewujudan aplikasi Sarawak Xpert (Sara – X) turut memudahkan pengguna menerusi perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengurus Besar Centexs Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, sejajar itu pihaknya amat mengalu-alukan penggunaan aplikasi ini dalam kalangan masyarakat setempat.

“Setakat ini kira-kira lebih 3,000 yang telah mendaftar sebagai pengguna perkhidmatan di aplikasi Sara-X sejak tahun lalu.

“Bagaimanapun, hanya 20 peratus dari jumlah pengguna yang berdaftar menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak ketika ditemui di Galeri Songket Keringkam.

Menurutnya, selain merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak kepada masyarakat, aplikasi ini juga bertujuan membantu individu yang mahir dalam bidang teknikal untuk menjana pendapatan mereka.

Terdapat tiga kategori yang disasarkan menjadi penyedia perkhidmatan dalam aplikasi ini yang terdiri daripada alumni Centexs, pelajar lepasan institusi kemahiran lain dan komuniti luar yang berpengalaman dalam bidang kemahiran.

“Untuk tahun ini, kita sasarkan seramai 1,000 jumlah penyedia perkhidmatan di Sara-X diikuti 10,000 orang pengguna.

“Meskipun hanya mempunyai 17 perkhidmatan pada masa ini, namun aplikasi Sara-X juga bakal ditambah baik dari masa ke masa mengikut cadangan dan permintaan pengguna di sesebuah kawasan,” kata Shahren lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat tiga perkhidmatan yang mendapat permintaan tertinggi setakat ini iaitu servis pemotongan rumput dan pembersihan dalam rumah, pembaikan mesin penghawa dingin dan juga elektrikal.

Ketiga-tiga perkhidmatan ini banyak ditempah di kawasan Kuching sebagai lokasi awal yang difokuskan sejak penubuhannya.

“Kita juga menerima permintaan dari kawasan Sibu dan Lawas untuk menjadi penyedia perkhidmatan 3,000 daftar Sara-X dalam aplikasi Sara-X.

“Bagaimanapun, pernggunaannya akan mengikut peringkat setelah selesainya penubuhan aplikasi Sara-X secara menyeluruh menjelang Ogos depan,” katanya lagi.

Shahren juga menegaskan agar orang ramai atau pengguna tidak khuatir untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan kerana penyedia perkhidmatan yang terlibat terdiri daripada individu yang mahir dan boleh dipercayai.

“Bagi pengguna Android mereka bole terus memuat naik aplikasi ini di Google Playstore manakala pengguna IOS atau mereka yang tidak mempunyai aplikasi ini boleh terus hubungi khidmat pelanggan kami di talian 0138137608,” katanya lagi.

Beliau berharap agar lebih ramai pengguna yang akan mendaftar dan menggunakan servis ini mengikut keperluan masing-masing.

Suara Sarawak