BUKTI… Ashmon (kanan) bersama kakitangan Sesco menunjukkan wayar yang telah dipotong daripada salah satu kediaman yang dijadikan sebagai pusat judi dalam talian.

KUCHING: Sebanyak 32 buah kediaman yang dijadikan pusat judi dalam talian telah dipotong bekalan elektrik oleh polis dan Sesco untuk tempoh Jun 2021 hingga awal tahun ini.

Kesemua kediaman terbabit terletak di sekitar Kuching iaitu di Jalan Song, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Foochow, Jalan Hui Sing dan kawasan Tabuan.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sebanyak 28 premis kediaman telah dipotong bekalan elektrik sebelum ini, manakala sembilan lagi dipotong bekalan hari ini.

Katanya, pemotongan bekalan elektrik ini dijalankan mengikut kuasa di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sekiranya pemilik premis ingin menyambung semula bekalan elektrik ke kediaman mereka, permohonan tersebut perlu dikemukan kepada Sesco dan akan diteliti bersama pihak polis terlebih dahulu.

“Kita akan membuat kajian balik sama ada boleh atau sebaliknya. Kalau didapati masih ada elemen-elemen kegiatan perjudian, kita tidak akan sambung,” katanya ketika ditemui media di sebuah kediaman kondominium di Jalan Song, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata seorang pemilik premis telah dituduh di Mahkamah Kuching 27 Januari lalu kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket ini.

Sementara pemilik premis yang lain katanya masih disiasat dan kertas siasatan akan dikemukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dakwaan.

Manakala seramai 48 individu terdiri dari warga tempatan dan warga asing telah ditangkap dalam serbuan yang dijalankan pada Januari lalu.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan ini merupakan penganjur dan pengendali judi dalam talian dan didakwa di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

Suara Sarawak