32 pasukan berentap dalam Kejohanan Cabaran Sepak Takraw Kota Samarahan
SERAH… Rubiah menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil peserta pasukan yang bertanding

KOTA SAMARAHAN: Seramai 32 pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Cabaran Sepak Takraw Kota Samarahan Edisi Ketiga di Stadium Tertutup Kota Samarahan.

Kejohanan yang telah bermula sejak semalam tersebut turut dihadiri beberapa pasukan handalan dari semenanjung bagi merebut hadiah berupa Piala Pusingan YB Datuk Rubiah Wang dan wang tunai sehingga RM5,000.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang dalam ucapan perasmian berkata, platform itu sangat penting bagi mencungkil bakat-bakat pemain khususnya pemain muda dalam kalangan peserta.

“Arena ini amat diperlukan dalam memastikan bakat dan keupayaan anak-anak muda dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi seperti pentas sukan nasional seperti Sukan Malaysia (SUKMA), malahan antarabangsa seperti Sukan Komanwel, sukan SEA dan Olimpik.

“Di Samarahan kita juga tidak kurang hebatnya kerana mempunyai atlet yang pernah mengharumkan nama negara misalnya saudara Syaiful dari Kampung Tanjong Apong di Asajaya yang berjuang dalam acara renang serta mewakili Malaysia ke Sukan Paralimpik di Tokyo tahun lepas,” katanya.

Tambah beliau, sokongan akan terus diberikan dalam usaha mengetengahkan bakat dan keupayaan anak-anak muda ke peringkat yang lebih tinggi.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Semawi Mohamad, Pegawai Daerah Samarahan Anuar Daan dan Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan, Mohammad Nizam.

Suara Sarawak