Sekitar Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ke-25

KUCHING: Seramai 3,587 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ke-25 yang bermula hari ini sehingga 17 Februari depan.

Kesemua graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian seperti Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda.

Majlis ini disempurnakan oleh Canselor Unimas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud.

Menurut Bahagian Canselori Unimas, secara keseluruhan jumlah graduan pada Konvokesyen Unimas kali ini melibatkan seramai 424 graduan PhD dan Sarjana.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 66 orang adalah graduan antarabangsa iaitu 27 peringkat PhD dan Sarjana manakala 39 graduan peringkat Sarjana Muda dari 25 buah negara di seluruh dunia.

Canselor Unimas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen Unimas yang Ke-25.

“Seterusnya 3,163 graduan lagi adalah bagi peringkat Sarjana Muda dari 10 fakulti yang terdapat di Unimas iaitu 570 graduan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, 19 graduan Fakulti Alam Bina, 74 graduan (Fakulti Bahasa dan Komunikasi), 378 graduan (Fakulti Kejuruteraan), 290 graduan (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan).

“Manakala, 394 graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, 347 graduan (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat), 434 graduan (Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia) 461 graduan (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) dan 196 graduan (Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif,” jelasnya.

Sidang ini juga menyaksikan penyampaian anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) yang diterima oleh Mohd Zarul Fikri Md Sani (Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia) dan Teh Sue Jing ( Fakulti Bahasa dan Komunikasi).

Sementara, penerima Anugerah Canselor pula diterima oleh Ng Boon Kiet ( Fakulti Kejuruteraan ) dan Anugerah Pro Canselor Tang Hui Wen (Fakulti Sains dan Teknologi Sumber).

“Kesemua penerima anugerah adalah graduan yang terpilih menerusi kecemerlangan mereka dalam akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian di universiti ini,” katanya.

Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud (kanan) menyampaikan anugerah khas, Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Mohd Zarul Fikri Md Sani dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.

Suara Sarawak