BERCAKAP… Naib Canselor Datuk Kadim Suaidi bercakap pada sidang media di Arena Gemilang

KOTA SAMARAHAN: Seramai 58 pelajar bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-25 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 14 Februari ini.

Naib Canselor Unimas Datuk Kadim Suaidi berkata, mereka antara 3,587 graduan yang bakal menerima ijazah dalam pelbagai peringkat pengajian termasuk Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda.

Menurutnya, angka besar penerima PhD tersebut sekali gus menjadi kebanggaan pihak universiti yang turut melakar sejarah sempena 30 tahun penubuhannya di Bumi Kenyalang.

“Konvokesyen kali ini bakal melibatkan seramaj 3,163 graduan Ijazah Sarjana Muda, 424 orang peringkat PhD dan Ijazah Sarjana selain 66 graduan antarabangsa dari 25 negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Amanat 2022 Naib Canselor Unimas di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR) Putra Unimas, di sini, hari ini.

Tambahnya, tahun ini juga kali pertama Unimas akan terlibat dalam graduasi seramai 17 orang pelajar daripada Post Graduasi Diploma (PGD) yang merupakan kursus baharu yang ditawarkan dengan mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Konvokesyen ini juga bakal merekodkan seramai 52,000 alumni Unimas dari 52 negara di seluruh dunia semenjak penubuhan pada tahun 1997,” ujarnya.

Sementara mengenai majlis, katanya hanya graduan dibenarkan memasuki dewan Arena Gemilang dan tiada tetamu jemputan atau ibu bapa yang dibenarkan masuk bagi memaruhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Suara Sarawak