KUCHING: Hanya 38.8 peratus kanak-kanak di Sarawak yang layak berumur lima hingga 11 tahun sudah mendapat dos pertama vaksin Covid-19 setakat Jumaat, 25 Februari.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, jumlah tersebut meleset jauh daripada sasaran 50 peratus kanak-kanak menerimanya menjelang hujung bulan ini.

“Walaupun Sarawak mempunyai kadar tertinggi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) di negara ini, ia masih tidak mencukupi kerana kita bukan sekadar hendak menjadi yang teratas.

“Tetapi kita mahu mencapai sasaran yang ditetapkan demi mencapai imuniti kelompok serta menjamin keselamatan bersama,” katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Desa Wira di sini, hari ini.

Justeru beliau menyeru ibu bapa untuk memberikan kerana kanak-kanak tidak dapat diberikan vaksinasi tanpa persetujuan dan ditemani ke pusat pemberian vaksin.

“Jadi jika anda sayangkan anak sila cari masa untuk membawa mereka mendapatkan vaksinasi.

“Jika tidak sempat menghadiri temu janji di sekolah, ibu bapa boleh menghantar anak-anak untuk divaksin di klinik kesihatan awam atau swasta yang telah dilantik.

“Ia sangat penting kerana kanak-kanak yang tidak divaksinasi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk jangkitan dan kesan Covid-19 yang serius,” tegasnya.

 

Suara Sarawak