KUCHING: Sebanyak 64 kompaun dengan nilai RM64,000 dikeluarkan dalam Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching dari 18 Februari hingga 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM56,000 hasil kompaun seramai 40 lelaki dan 16 perempuan.

Manakala katanya, sebanyak lapan premis dikenakan kompaun dengan nilai RM8,000.

“Kesalahan yang paling banyak dilakukan sepanjang minggu lepas adalah gagal memastikan pekerja dan individu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 17(1) dan 17(2) PPPB (LLDKTJ) (PPN) 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, pihak polis mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi SOP demi kebaikan bersama.

Pasukan Op Pematuhan IPD Kuching menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Kuching.

 

Suara Sarawak