KUCHING: Seramai 73 individu dicekup ketika sedang leka menyabung ayam di Kilometer 114, Jalan Balingian/ Mukah semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, serbuan dilakukan kira-kira 12.20 tengah hari oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.

Menurutnya, suspek yang ditahan terdiri daripada 70 orang lelaki berumur lingkungan 15 hingga 75 tahun, manakala tiga wanita berusia 25 hingga 57 tahun.

“Semasa serbuan, didapati sekumpulan lelaki dan perempuan sedang leka bermain terup dan sabung ayam.

“Setelah menyedari kehadiran pihak polis, kesemua bertempiaran lari namun usaha mereka gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lukas berkata, turut dirampas wang tunai berjumlah RM219,211, 212, cip bernilai RM1,026,850, satu set daun terup, tiga ekor ayam mati, tiga unit taji, seunit penimbang berat, dua buku nota dan seunit papan putih.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1952.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak melibatkan diri dalam kegiatan perjudian yang menyalahi undang-undang kerana ia mendatangkan banyak masalah.

Suara Sarawak