Julaihi bercakap pada sidang media selepas sesi penglibatan bersama pihak berkepentingan telekomunikasi, hari ini.

KUCHING: Sarawak memerlukan kira-kira 7,000 menara telekomunikasi dalam memastikan negeri ini mencapai liputan komunikasi secara menyeluruh.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, jumlah tersebut adalah berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Digital Ekonomi Sarawak (SDEC).

Katanya, ia sejajar dengan matlamat kementerian untuk mencapai liputan penuh telekomunikasi menjelang tahun 2025.

“Kita berharap segala keperluan dalam mencapai sasaran perkhidmatan yang menyeluruh di Sarawak dapat dicapai secepat mungkin.

“Sarawak mempunyai sasaran untuk mencapai capaian penuh pada tahun 2025, namun ia memerlukan satu penyelarasan antara semua agensi yang terlibat dan juga penyampai perkhidmatan yang berkaitan,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini menghadiri sesi penglibatan bersama pihak berkepentingan telekomunikasi yang turut dihadiri Menteri Muda Komunikasi dan Utiliti Datuk Liwan Lagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Alice Jawan Empaling.

Tambah Julaihi, kementeriannya juga mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berhubung kelulusan tapak tanah untuk pembinaan menara telekomunikasi.

Jelasnya, isu tersebut perlu diselesaikan untuk mempercepatkan tapak yang diperlukan oleh agensi yang berkaitan untuk membina menara berkenaan.

“Kita berharap ia dapat diselesaikan dan akan ada penyelesaian untuk membina menara telekomunikasi di seluruh Sarawak termasuk di pedalaman.

“Bukan sekadar membina menara, ia perlu dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi yang berkaitan,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak