Longgokan kayu balak pelbagai spesis dan saiz yang ditemui di di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau, dipercayai daripada kegiatan pembalakan haram.

SIBU: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) merampas sebanyak 717 batang kayu balak pelbagai spesis dan saiz, dipercayai daripada kegiatan pembalakan haram di kawasan Batu 36, Jalan Oya, Tamin, Selangau.

Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata rampasan dilakukan oleh sepasukan pegawai penguatkuasaan Pejabat Hutan Wilayah Sibu, setelah mengesan kegiatan itu semasa mengadakan rondaan di kawasan berkenaan, semalam.

“Pasukan penguatkuasaan telah menjumpai tujuh longgok kayu balak pelbagai spesis dan saiz dipercayai telah ditebang secara haram kerana tiada mempunyai tanda Tukul Jabatan Hutan (JH), Tukul Hak Milik dan Tag LPI (Log Production Identity) pada kedua hujung kayu balak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata nilai rampasan kayu balak itu belum dapat dipastikan lagi sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Hamden menambah laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Selangau mengenai rampasan kayu balak itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

“Satu kertas siasatan akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja,” katanya.

Justeru, Hamden menegaskan pasukan penguatkuasaan Jabatan Hutan Sarawak akan terus melakukan rondaan tanpa mengira cuti umum atau hujung minggu.

Suara Sarawak