SERIAN: Sembilan lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sini.

Kesemua suspek berusia 17 tahun hingga 40 tahun itu ditahan dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di sekitar kampung-kampung di sini, pada 23 hingga 25 Februari lepas.

TANGKAP: Pasukan operasi membuat tangkapan pada Op Tapis Khas di Serian.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata ujian air kencing yang dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Pasukan operasi turut merampas empat tiub straw serta satu paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine dianggarkan seberat 2.01 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah lebih kurang RM500 dalam harga pasaran tempatan.

Menurut Aswandy, dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan kepada penagih-penagih di kawasan Serian dan kampung-kampung berdekatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Justeru, katanya IPD Serian akan sentiasa melancarkan operasi secara berterusan pada masa depan bagi mengekang kegiatan pengedaran dan juga penagihan dadah di Daerah Serian terutamanya di kawasan kampung.

Beliau berharap masyarakat sentiasa peka kepada masalah penyalahgunaan dadah di dalam kampung dan sentiasa menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah kepada pihak polis.

PERIKSA: Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan dalam Op Tapis Khas di Serian.

Suara Sarawak