Abang Johari dilantik sebagai Pro-Canselor UTS

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk tempoh lima tahun, berkuat kuasa 1 Mac ini.

Surat watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Dr. Anuar Rapaee yang juga Pengerusi UTS pada kunjungan hormat oleh ahli lembaga pengarah UTS di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini

Menurut Anuar, pelantikan jawatan tersebut merupakan yang pertama selepas UTS dinaik taraf sebagai universiti penuh.

“Ketua Menteri juga telah bersetuju untuk dilantik ke jawatan tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Anuar memberitahu UTS akan mengadakan majlis konvokesyen pada 5 dan 6 Mac 2022.

UTS dahulunya dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) sebelum dianugerahkan taraf sebagai universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 8 November 2021 dan dirasmikan oleh Abang Johari pada 10 November 2021.

Universiti milik penuh Kerajaan Sarawak ini ditubuhkan pada 1 April 2013.

Turut hadir, Naib Canselor Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid serta ahli-ahli lembaga pengarah UTS.

 

Suara Sarawak