Foto Mohd Alif Noni

KUCHING: Datuk Aidi Ismail menyerah tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada Timbalannya, Datuk Mancha Ata, hari ini.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Azri dalam ucapannya memuji usaha Aidi serta sumbangan beliau kepada Polis Kontinjen Sarawak semasa pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.

“Beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan dedikasi untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dikekalkan agar masyarakat dapat hidup dalam aman dan harmoni.

“Ini terbukti apabila tiada laporan kekecohan pada Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak Disember tahun lalu,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Aidi atas pelantikan sebagai PengarahJabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman yang baharu.

Dalam pada itu Adi dalam ucapannya menyampaikam penghargaan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atas pelantikkannya serta kepada kesemua kontinjen atas sokongan dan kerjasama tidak berbelah bahagi.

Beliau berkata, Mancha mempunyai pengalaman yang luas dan percaya beliau dapat mengalas tanggungjawab sebagai pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak justeru warga Polis Kontinjen Sarawak harus memberikan sokongan kepadanya.

“Saya juga ingin mengingatkan mereka supaya menjaga imej pasukan, melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan menjauhi aktiviti yang boleh mencemarkan imej pasukan,” katanya.

Aidi telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa pada 22 Februari ini.

Suara Sarawak