KUCHING: Semua Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) di Sarawak disaran mengajar asas bahasa isyarat sebagai pendedahan awal kepada kanak-kanak di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, usaha tersebut telah dimulakan di SeDidik dan akan diperluaskan ke semua tadika yang lain di Sarawak pada tahun ini.

“Pendedahan asas bahasa isyarat kepada kanak-kanak khususnya berusia 5 hingga 6 tahun sangat penting, supaya mereka dapat berbicara atau berkomunikasi dengan individu pekak (cacat pendengaran).

“Justeru, dengan perkara tersebut juga kita akan dapat mewujudkan komunikasi dua hala – antara orang normal dengan golongan berkenaan (pekak),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) Bil.1/2022 di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini hari ini.

Fatimah yang juga Pengerusi MPAKS menambah, golongan yang tidak dapat mendengar dan bertutur juga ingin berkomunikasi bukan sahaja sesama mereka sendiri tetapi juga dengan orang normal.

“Disebabkan itu penting untuk kita mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan mereka ini, iaitu melalui bahasa isyarat,” ujarnya.

Suara Sarawak