Dua rakan dibawa keluar Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas sebutan kes.

KUCHING: Dua sahabat warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) telah tamat tempoh.

Tertuduh Angga Pranata Putra Tarigan Silangit, 26, dan Januardi, 30, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, Angga dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan satu sebatan mengikut hukuman di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) Akta yang sama.

Dia didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah memasuki Malaysia dan berada di Kuching, Sarawak pada 31 Januari lepas semasa berada dalam sebuah kondominium mewah di Jalan Song.

Manakala Januardi dijatuhi hukuman penjara lima bulan apabila didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) Akta yang sama, kerana berada di Sarawak, Malaysia selepas Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh.

Dia didapati berada negara ini apabila ditahan oleh pihak polis di sebuah kondominium mewah di Jalan Song, sekitar jam 10.30 malam, 31 Januari lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali dan Tan Chuan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak