Solat jenazah dilakukan sejurus jenazah tiba di rumahnya di Jalan Muda Hashim

KUCHING: Allahyarham Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Tan Sri Abang Khalid Marzuki selamat dikebumikan hari ini selepas Solat Maghrib.

Barisan pemimpin seperti Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri, Adun Satok, Datuk Ibrahim Baki, Adun Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan lain-lain turut hadir memberikan tanda hormat ke atas jasa bakti Allahyarham sebelum ini.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham telah dibawa menggunakan pengangkutan udara, pesawat MH7546 dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan mengambil masa hampir 2 jam iaitu dari jam 3.10 petang dan tiba pada jam 5 petang.

Setibanya tubuh fizikal Allahyarham ke tanah kelahirannya, jenazah terus dibawa ke rumah beliau yang terletak di Jalan Muda Hashim pada jam 5.45 petang untuk memberi peluang kepada orang ramai menziarahi jenazah beliau buat kali terakhir.

Setelah selesai membuat kunjungan terakhir terhadap Allahyarham Abang Khalid, orang ramai beredar untuk memberi ruang menggerakkan jenazah ke tanah perkuburan.

Ramai yang menyusul untuk hadir ke tanah perkuburan bagi menyemadikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Samariang, sekali gus menjadikan suasana di kawasan perumahan tersebut suram dan sunyi.

Jenazah dikeluarkan dari van untuk disemadikan dengan penuh adat serta ditemani hujan renyai-renyai yang turut bersedih atas pemergiannya.

Di samping, ramai kenalan dari pelbagai bangsa dan kaum turut hadir melawat jenazah buat kali terakhir untuk mengenang jasa bakti ketika Allahyarham masih hidup.

Terdahulu, Allahyarham dikejarkan ke Pusat Perubatan Pakar Timberland Kuching pada 25 Nov 2021 selepas mengadu sakit perut sebelum didiagnos menghidap kanser usus tahap tiga.

Beliau disahkan meninggal dunia di usia 74 tahun, pada jam 5.43 pagi di Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Suara Sarawak