BARU BIAN

KUCHING: Kerajaan perlu mengambil tindakan konkrit terhadap usul yang diluluskan sebulat suara pada 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menuntut Putrajaya melaksanakan hak di bawah Perjanjian Malaysia, kata Adun Ba’Kelalan Baru Bian.

Katanya ia termasuk memberi mandat kepada kerajaan negeri untuk menyemak semua perundangan persekutuan, serta meminda atau memansuhkan undang-undang yang menjejaskan hak negeri terhadap sumber aslinya.

Beliau menambah undang-undang itu termasuk Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan perairan wilayah negeri dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai, Akta Pelantar Benua dan Akta Petroleum 1966.

“Apa yang lebih penting untuk diberi tumpuan, adalah untuk melaksanakan hak kita dan menuntut janji-janji yang dibuat kepada kita semasa pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 yang antara lain bertujuan menukar gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Suara Sarawak