Anak perkahwinan campur harus diiktiraf sebagai peribumi – Baru Bian

KUCHING: Semua anak hasil perkahwinan campur antara anak Sarawak dan bukan anak Sarawak harus diiktiraf sebagai peribumi Sarawak, kata Adun Ba’Kelalan Baru Bian.

Tegasnya jika itu tidak dilakukan, ramai rakyat Sarawak akan kehilangan status peribumi.

“Lama-kelamaan, tiada lagi orang peribumi yang tinggal di Sarawak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan) 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Baru menambah keadaan itu bukan sahaja mempunyai implikasi yang serius terhadap demografi Sarawak, tetapi ia akan memberi kesan buruk terhadap jati diri, budaya dan warisan rakyat Sarawak.

“Kita sentiasa berbangga dengan kaum campuran kita dengan pelbagai adat dan kepelbagaian budaya, dan mesti melakukan semua yang kita mampu untuk mengekalkan ciri unik kita.

“Oleh itu kemasukan ‘seorang warganegara dan anak kandung daripada kaum pribumi Sarawak’ dalam definisi memberi gambaran yang lebih jelas bahawa hanya seorang daripada ibu bapa perlu terdiri daripada kaum pribumi,” katanya.

Justeru, untuk mengelakkan semua keraguan dan kesamaran, beliau mencadangkan agar dinyatakan dengan jelas bahawa selagi salah seorang ibu bapa kanak-kanak itu adalah daripada kaum epribumi, kanak-kanak itu dianggap sebagai orang peribumi.

Menurut Baru, masalah timbul sejak kebelakangan ini apabila Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah menyukarkan anak-anak hasil perkahwinan campuran antara orang peribumi dengan bukan peribumi untuk mewarisi tanah peribumi.

“Pada masa lalu, menjadi amalan mereka bahawa jika bapa adalah orang peribumi, maka anak-anak akan dianggap orang peribumi.

“Tetapi itu telah berubah sekarang, atas sebab-sebab yang paling diketahui oleh mereka sendiri dan penggubal dasar mereka.

“Ini mempunyai implikasi serius kepada tuntutan tanah adat anak peribumi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata terdapat implikasi lain apabila anak-anak ini dinafikan status sah mereka sebagai peribumi.

“Saya masih ingat terdapat beberapa kes sebelum ini apabila pelajar tidak dibenarkan masuk ke universiti kerana salah seorang daripada ibu bapa mereka bukan peribumi dan oleh itu dianggap bukan bumiputera dan dinafikan status serta manfaat sebagai bumiputera,” katanya.

Suara Sarawak