APMM patahkan aktiviti pemindahan balak tanpa lesen
Bot tunda dan tongkang yang ditahan APMM Zon Bintulu, semalam.

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan tiga bot tunda dan tiga tongkang bersama muatan yang dipercayai melakukan aktiviti pemindahan barang bercukai tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa di perairan Bintulu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua-dua bot tunda serta tokang terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena, Bintulu, sekitar jam 7 malam, Khamis.

Kapten Maritim MOHD KHAIROL ANUAR SAAD

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kesemua bot tunda serta tongkang tersebut telah melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh dan turut gagal mengemukakan “Domestic Shipping Licence” (DSL) semasa pemeriksaan.

“Muatan yang disyaki kayu balak dianggarkan lebih kurang 680 batang juga didapati telah dipindahkan ke atas tongkang tersebut,” katanya.

Kesemua 16 kru ditahan termasuk tiga nakhoda yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun terdiri dari 11 lelaki tempatan, dua lelaki warganegara Indonesia.

“Manakala tiga lelaki warganegara India mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa diperiksa.

Kesemua kru bot tunda beserta tiga tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1983 dan Kanun Tanah Sarawak 1958.

Setakat hari ini, Zon Maritim Bintulu telah melakukan 11 kes tangkapan yang melibatkan bot tunda dan tongkang di perairan Bintulu.

Suara Sarawak